suria

PDRM Sambut Baik Pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik cadangan pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933 (AKT 1933) seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen, Rabu.

Sehubungan itu, PDRM telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi melaksanakan penyempurnaan dokumen-dokumen pembatalan perintah sekatan dan akan melaksanakannya serta-merta.

AKT 1933 ini digubal dan dilaksanakan bagi tujuan tertentu terutamanya bagi menyekat kegiatan individu atau sindiket dalam jenayah terancang tanpa menggunakan keganasan.

Penggunaan perintah sekatan AKT 1933 bertujuan mengasingkan individu-individu ini dari tempat mereka beroperasi.

Walaubagaimanapun, kecanggihan teknologi, kepesatan pembangunan dan modus operandi pelakuan jenayah terkini menyebabkan bisa sekatan tidak lagi berkesan sebagaimana masa lampau.

PDRM ingin menegaskan walaupun akta berkenaan dimansuhkan, undang-undang sedia ada adalah mencukupi untuk digunakan oleh PDRM bagi menghadapi sebarang ancaman jenayah.

Justeru itu, PDRM telah pun menggariskan strategi yang akan digunakan bagi menghadapi era apabila AKT 1933 tidak lagi menjadi opsyen dalam pencegahan jenayah.

Walau apa pun, keselamatan negara dan ketenteraman awam akan menjadi paksi kepada semua perancangan dan strategi pihak polis dalam era transformasi kerajaan sekarang.

Artikel Lain