suria

MTUC Gesa Pembekuan Kemasukan Pekerja Asing

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia menggesa kerajaan agar membekukan kemasukan pekerja asing ke negara ini secara serta-merta bagi menyelesaikan isu 1.3 juta pekerja asing tanpa izin sedia ada.

Naib Presidennya A. Balasubramaniam berkata kerajaan harus melihat perkara itu secara serius kerana isu berkenaan membawa kesan besar kepada rakyat tempatan.

"Kita takut memandangkan begitu ramai buruh asing yang murah, orang tempatan akan diketepikan kerana majikan memilih mereka," katanya kepada Bernama, di sini, Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa terdapat 1.3 juta pekerja asing tanpa izin yang berkerja dalam sektor tidak dibenarkan mendaftar dalam Program 6P yang membabitkan pendaftaran dan pemutihan pendatang asing di negara ini.

Hishammuddin turut dilapor berkata kebanyakan warga asing terbabit bekerja di bengkel kenderaan, restoran makanan segera, restoran dan juga gerai makanan.

Balasubramaniam mencadangkan agar Kementerian Sumber Manusia mengadakan perbincangan tiga pihak bagi mendapatkan bantuan dan idea daripada pihak berkepentingan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Beliau juga meminta kerajaan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengesan golongan pekerja asing tanpa izin yang bekerja dalam sektor tidak dibenarkan. -BERNAMA

Artikel Lain