suria

Mansuh Akta: Polis Pantau 125 Tahanan Yang Dibebaskan

KUALA LUMPUR: Polis akan memantau 125 tahanan Perintah Kediaman Terhad yang akan dibebaskan demi memastikan keselamatan awam terjamin.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kesemua tahanan berkenaan akan dibebaskan selewat-lewatnya pada Khamis.

"Perintah pembebasan mereka ditandatangani hari ini (Rabu) dan akan dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Daerah seluruh negara.

"Proses pembebasan sudahpun dijalankan dan apa yang penting sekarang ialah polis akan mengambil langkah untuk memantau tahanan yang dibebaskan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Pada sesi perbentangan Rang Undang-undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan pembebasan 125 tahanan di bawah Perintah Kediaman Terhad serta-merta.

Serentak dengan itu, Kementerian Dalam Negeri juga akan membatalkan lebih 200 waran yang belum disampaikan.

Artikel Lain