suria

Lelaki Myanmar Maut Dibelasah Dalam Cubaan Samun

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Myanmar mati apabila dibelasah orang awam ketika cuba menyamun dua wanita rakyat China di Pasar Pudu di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, lelaki terbabit cuba melakukan samun bersama seorang lelaki yang juga rakan senegaranya.

"Dalam kejadian itu, suspek yang berumur dalam lingkungan 30-an turut mencederakan mangsanya menggunakan senjata tajam," katanya kepada Bernama selepas majlis pemakaian Pangkat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, Rabu.

Beliau berkata sebelum kejadian kedua-dua wanita (mangsa) yang berusia 30 tahun itu berjalan di kawasan pasar sebelum ditahan oleh kedua-dua lelaki yang cuba menyamun beg tangan seorang daripada wanita itu.

"Mangsa kemudian menjerit meminta tolong. Kedua-dua suspek yang terkejut dengan tindakan mangsa cuba melarikan diri, tetapi seorang daripada mereka sempat ditangkap oleh orang awam," katanya.

Zulkarnain berkata mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala kedua-dua wanita yang cedera di tangan dan badan dirawat di hospital yang sama.

Terdahulu pada majlis itu, 66 anggota polis dari daerah Dang Wangi yang berpangkat Lans Koperal dinaikkan pangkat kepada Koperal manakala dua lagi anggota yang berpangkat Sarjan Mejar dinaikkan pangkat kepada Sub Inspektor.

Zulkarnain berkata kenaikan pangkat itu adalah mengikut kaedah 'time-based' yang memberi keutamaan kepada anggota polis yang telah berkhidmat lebih lima tahun.

Seorang anggota polis yang dinaikkan pangkat kepada Koperal, I. Premalatha, 32, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berkata kenaikan pangkat ini amat menggembirakannya setelah 12 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami sudah lama menanti kenaikan pangkat ini dan bersyukur jasa dan khidmat kami dihargai," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain