suria

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Medium Proaktif Sampaikan Maklumat - Mahmood Adam

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri melihat Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya sebagai satu medium yang boleh berfungsi secara proaktif dalam menyampaikan maklumat berhubung kait dengan kepentingan kementerian itu.

Ketua Setiausahanya Tan Sri Mahmood Adam berkata menerusi jawatankuasa itu, KDN serta semua agensi yang bernaung di bawahnya juga berpeluang menjawab segala tuduhan serta dakwaan tidak benar yang dilemparkan pelbagai pihak terhadap kementerian berkenaan, terutamanya daripada pembangkang.

"Ini sekaligus membuktikan bahawa kita telus berurusan dengan rakyat dan tiada isu atau perkara yang cuba diselindung daripada pengetahuan mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Susulan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas itu, katanya, KDN akan merangka jawatankuasa khasnya sendiri bagi memastikan satu proses kerja yang teratur dan menjamin kerjasama penuh dengan Jawatankuasa Pilihan Khas itu apabila fungsinya dilaksanakan kelak.

Jawatankuasa Pilihan Khas yang dibentangkan kerajaan dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam akan bertanggungjawab menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Hari ini, Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat yang bermesyuarat mengesahkan pelantikan sembilan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut, terdiri daripada sembilan anggota Parlimen termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang bertindak sebagai pengerusi. -BERNAMA

Artikel Lain