suria

Jadikan Turki Pintu Masuk Ke Pasaran Eksport Baharu - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Malaysia harus menimbang Turki sebagai pintu masuknya ke pasaran eksport menguntungkan yang baharu, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir berkata Malaysia perlu menimbang mengurangkan pergantungannya kepada pasaran eksport AS dan EU kerana krisis ekonomi di kedua-dua rantau ini menjejaskan kuasa beli AS dan EU.

"Apa yang berlaku di mana-mana di dunia akan memberi kesan kepada Malaysia kerana kita saling berhubungan melainkan Malaysia bekerja keras untuk mencari pasaran baharu kerana kita tidak lagi boleh bergantung kepada mereka (AS dan Eropah). Mereka tidak ada wang untuk membeli apa yang kita hasilkan jadi kita perlu mencari pasaran baharu. "Sudah tentunya bukan sepenuhnya. Perdagangan 20 peratus dengan AS tidak akan berkurangan kepada sifar tetapi sudah pastinya anda perlu mempunyai pengganti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tamanya di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Ke-8 2011 di sini, Selasa. Beliau berkata demikian selepas diminta menjelaskan lebih lanjut mengenai kenyataannya sebelum ini bahawa AS dan EU tidak dijangka pulih dengan segera, yang dengan itu menjejaskan Malaysia sebagai rakan dagangan. Walau bagaimanapun, Dr Mahathir memuji usaha-usaha keras yang dibuat bagi pasaran China. "Perdagangan kita dengan China meningkat dengan pesat. Saya percaya Turki dan rantau sekitarnya boleh menyediakan pasaran yang baik tetapi masih belum mencukupi dari pihak kita untuk meningkatkan perniagaan dengan Turki." Menurut beliau, Turki berada di tengah-tengah rantau yang menghubungkan Asia Barat, Eropah Timur dan negara-negara Arab. "Kita perlu berada di sana. Saya berada di sana minggu lepas dan terkejut amat sedikit penyertaan Malaysia di sana." - BERNAMA

Artikel Lain