suria

Filem Seram Perlu Ikut Garis Panduan - Jakim

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan agar penggiat filem melantik dan melibatkan pakar-pakar agama dalam penerbitan filem, terutama filem seram yang dikhuatiri mengandungi nilai negatif dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Ketua Pengarahnya Othman Mustapha berkata penerbit juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak Dan Audio Visual Berhubung Dengan Unsur-unsur Yang Bercanggah Dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dikeluarkan pada tahun 2005.

Genre seram, tahyul, khurafat dan sebagainya dilihat tidak membantu dalam usaha pembentukan generasi masa depan malah akan merencatkan pemikiran generasi muda dengan tanggungjawab yang akan dipikul mereka kelak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas teguran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai lambakan filem seram di televisyen, yang menurutnya, tidak langsung membantu membina pemikiran masyarakat.

Drama dan filem seram bukan hanya ditonton oleh orang dewasa pada lewat malam tetapi kerana kemajuan teknologi, ia boleh dilihat 24 jam oleh semua peringkat umur, katanya dalam kenyataan, Rabu. - BERNAMA

Artikel Lain