suria

DPMM Sedia Bangun Rumah Mampu Milik Di Bandar-bandar Besar

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bersedia membangunkan 100,000 kediaman mampu milik berharga di bawah RM150,000 seunit di sekitar Lembah Klang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presidennya, Syed Ali Al Attas berkata DPMM memiliki barisan kontraktor kelas A, arkitek, dan jurutera pengalaman yang bersedia untuk membangunkan projek-projek sedemikian pada bila-bila masa.

"Dianggarkan sekitar 404.6 hektar tanah kerajaan masih ada di sekitar Lembah Klang boleh dibangunkan untuk tujuan ini," katanya kepada media di ibu pejabat DPMM di Plaza Damansara di sini, Rabu.

Malah, katanya DPMM boleh menjalankan projek-projek sedemikian tanpa mengambil untung bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri di bandar-bandar utama di negara ini.

"Kini tiba masanya bagi kerajaan untuk menimbangkan bagi membantu golongan ini memiliki rumah sendiri. Berikan kami tanah itu dan anggota kami akan menyerahkan projek berkenaan pada harga kos," katanya.

Menurut Syed Ali, DPMM bukan sahaja bersedia membangunkan projek-projek sedemikian di sekitar Lembah Klang, malah di bandar-bandar besar di negeri-negeri yang lain juga.

"Di Johor sahaja, terdapat kira-kira 4,046.0 hektar tanah kerajaan yang boleh dibangunkan bagi tujuan sedemikian," katanya.

Katanya DPMM berpengalaman membangunkan pangsapuri perkhidmatan dengan memberikan perkhidmatan penyelenggaraan secara percuma selama 10 tahun.

"Perkhidmatan percuma itu diberikan sebagai tempoh bernafas kerana selepas tempoh tersebut pastinya golongan ini sudah memiliki pendapatan yang lebih stabil dan baik.

"DPMM juga akan memastikan pembeli-pembeli itu tidak akan menjual kediaman mereka dalam tempoh 10 tahun," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain