suria

Dewan Rakyat Lulus Mansuh Akta Kediaman Terhad

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Rabu sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 tanpa sebarang pindaan.

Secara keseluruhannya kesemua wakil rakyat menyambut baik pemansuhan akta berkenaan apabila menyifatkan keputusan itu selaras dengan aspirasi nasional ke arah sebuah negara yang moden, demokratik, progresif dan memiliki demokrasi yang berfungsi.

Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan berkata, pemansuhan akta sejak 1933 itu bakal memberikan kesejahteraan yang lebih bernilai terhadap sistem demokrasi Malaysia.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan diminta agar memastikan setiap tindakan perundangan yang diambil terhadap rakyat di negara ini mengambil kira hak asasi manusia.

"Pemansuhan ini memang baik, lebih baik kalau kerajaan mansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) sekarang.

"Tapi bagaimanapun kita harap bukan sekadar mansuhkan akta ini, tapi perlu dinilai kembali mengenai tindakan-tindakan kita selepas ini.

"Harapnya rakyat negara ini dapat menikmati kebebasan selaras dengan keselamatan negara," katanya.

Sementara itu, Datuk Bung Mukhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata langkah pemansuhan berkenaan merupakan langkah bijak selaras dengan tuntutan dunia.

"Saya tetap yakin walaupun akta ini dimansuhkan, tapi kerajaan melihat bahawa keselamatan negara berada pada tahap paling tinggi dan terpenting.

"Kalau negara tak selamat, segala-galanya akan musnah. Jadi pembangkang diharap tidak mengambil kesempatan apabila undang-undang ini tiada, mereka akan mencetuskan huru-hara dalam negara," katanya.

Terdahulu pada sesi perbentangan Rang Undang-undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan pembebasan 125 tahanan di bawah Perintah Kediaman Terhad serta-merta.

Serentak dengan itu, Kementerian Dalam Negeri juga akan membatalkan lebih 200 waran yang belum disampaikan.

Artikel Lain