suria

Seorang Maut, Tiga Parah, Kren Hempap Rumah Di P.Pinang

GEORGE TOWN: Seorang lelaki terbunuh manakala tiga lagi cedera parah apabila sebuah kren tumbang dan menghempap tiga buah rumah di persimpangan Jalan Transfer dan Jalan Sri Bahari tengah malam Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata Leong Yee Khoon, 64, yang dipercayai tidur di sebuah bilik di tingkat dua rumahnya maut dalam kejadian yang berlaku pada pada 12.15 tengah malam.

"Tiga lagi anggota keluarga Leong iaitu Luaran Chooi Guan, 77, isteri Luaran, Chew Hong Choo, 76, dan anak mereka, Seong Ean, 55, yang tinggal di rumah yang sama mengalami kecederaan parah," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Azmi berkata kejadian dipercayai berlaku selepas kren yang digunakan untuk membina sebuah hotel 20 tingkat di tapak pembinaan bertentangan dengan rumah mangsa terjatuh lalu menghempap tiga buah rumah di situ.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Kemungkinan kren itu terjatuh ekoran angin kencang," katanya.

Azmi berkata anggota bomba menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mayat Leong yang tertimbus dalam runtuhan.

Kejadian itu turut menyebabkan bangunan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang terletak di belakang rumah-rumah yang terlibat itu, turut rosak. - BERNAMA

Artikel Lain