suria

Rasa Curiga Pegawai Kastam Bawa Kepada Rampasan Dadah Bernilai RM475,000

SEPANG: Rasa curiga seorang pegawai Kastam terhadap seorang wanita Iran yang membawa dua 'travelling' beg sarat dengan baju dan paket minuman akhirnya membawa kepada rampasan dadah jenis Syabu seberat 1.9 kilogram bernilai hampir RM500,000.

Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Datuk M.Govinden berkata rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan terhadap beg yang dibawa wanita terbabit pada pukul 1 pagi 1 Oktober lepas.

"Wanita berusia 24 tahun itu membawa begitu banyak pakaian dan pek minuman serta pelbagai bungkusan makanan dalam beg yang dibawanya sedangkan tiket penerbangan menunjukkan dia hanya singgah di Malaysia selama tujuh hari.

"Pegawai itu kemudian bertindak membuka paket minuman dan menemui dadah jenis Syabu di dalamnya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Govinden berkata hasil pemeriksaan lanjut, pihak berkuasa menemui 27 bungkusan kecil serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu yang dimasukkan ke dalam setiap paket minuman Cappucino dan 36 paket dalam paket minuman Coffemix.

Beliau berkata ini adalah kali pertama Kastam menemui dadah yang dimasukkan di dalam paket minuman.

Wanita itu kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain