suria

Polis Sabah Selamatkan 172 Mangsa Pemerdagangan Manusia

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menyelamatkan 172 mangsa pemerdagangan manusia dalam 23 serbuan yang dijalankan di negeri ini sejak 2009 hingga hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kebanyakan mangsa yang diselamatkan itu adalah wanita yang diperdagangkan dalam kegiatan pelacuran berasal dari Filipina, Indonesia dan Vietnam.

"Sebanyak 131 tangkapan dilakukan melalui serbuan tersebut terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia itu," katanya selepas menutup Bengkel Laporan Berita Mengenai Pemerdagangan Manusia di sini pada Selasa.

Seramai 30 wakil media dari Sabah dan Sarawak menghadiri bengkel dua hari itu yang bermula semalam anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Beliau berkata berdasarkan statistik, pihaknya menganggap kegiatan pemerdagangan manusia tidak berlaku serius di negeri ini.

Namun begitu, Hamza berkata pihaknya tidak menganggap ia satu perkara ringan dan usaha menanganinya dilakukan secara serius.

"Kita akan bertindak berdasarkan maklumat yang kita ada dan usaha untuk menangani kegiatan itu di negeri ini diutamakan," katanya.

Beliau berkata Sabah satu-satunya negeri yang mula mengambil tindakan selepas Akta Pemerdagangan Manusia 2007 digubal.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia Datuk Chamil Wariya berkata bengkel tersebut diadakan untuk melengkapkan wartawan di negeri ini dan Sarawak mengenai perkembangan isu pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

Katanya kursus yang sama telah diadakan pada 2009 untuk wartawan di Kuala Lumpur dengan sasaran supaya wartawan dibekalkan perpekstif yang baik dalam membuat laporan berkaitan pemerdagangan manusia. - BERNAMA

Artikel Lain