suria

Polis Cheras Tumpas Geng Kubur Dengan Tertangkap Dua Lelaki

KUALA LUMPUR: Polis memberkas dua anggota "Geng Kubur" yang aktif menyamun pemandu kereta yang berhenti di lampu isyarat di sekitar Cheras di sebuah tanah perkuburan Cina, Taman Connaught, Cheras, minggu lepas.

Kedua-dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan di tanah perkuburan itu pada kira-kira 10 malam, Rabu lalu, ketika sedang membuang barangan yang tidak diperlukan selepas menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata hasil tangkapan kedua-dua penganggur itu, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 23 kes samun sejak awal tahun ini iaitu masing-masing 10 kes di Cheras dan Brickfields dan tiga kes di Petaling Jaya.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di sini pada Selasa, katanya susulan tangkapan itu, polis merampas 25 beg tangan, lapan telefon bimbit, alat-alat untuk memecah tingkap kereta, pelbagai kad kredit dan wang tunai serta 11 set barang kemas.

Beliau berkata sebahagian barang kes itu didapati daripada kubur berkenaan dan selebihnya didapati di tempat tinggal mereka di Flat Seri Sabah, yang berdekatan dengan kubur tersebut. Katanya modus operandi dua lelaki itu adalah menyasarkan wanita yang memandu kereta mewah dan meletakkan beg tangan mereka di sebuah tempat duduk.

"Sebaik sahaja kereta mangsa berhenti di lampu isyarat, suspek yang mengekori mangsa dengan menaiki motosikal akan memecahkan cermin tingkap kenderaan sebelum melarikan beg," katanya.

Katanya salah seorang daripada suspek itu mempunyai rekod lampau berhubung kes samun. - BERNAMA

Artikel Lain