suria

Pesara Mohon Dibayar Cola

LANGKAWI: Persatuan Pesara-pesara Malaysia meminta kerajaan menimbang pemberian elaun kos sara hidup (COLA) kepada semua pesara awam membantu meringankan beban mereka berikutan kenaikan harga barang.

Presiden persatuan itu Datuk Paduka Wan Mahmood Pawan Teh berkata ini adalah antara beberapa perkara yang sedang diperjuang oleh persatuan untuk manfaat pesara.

"Perbincangan masih diteruskan dengan perkembangan positif," katanya pada majlis perasmian persidangan perwakilan persatuan itu oleh Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini malam Isnin.

Seramai 430 anggota perwakilan dan pemerhati hadir pada persidangan itu.

Wan Mahmood juga merakam penghargaan kepada kerajaan atas beberapa permohanan yang diluluskan yang menunjuk keprihatinannya terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

Beliau yakin dengan adanya hubungan baik dan dialog antara persatuan dan kerajaan, masalah dapat diselesaikan.

Wan Mahmood juga berkata persatuan komited untuk menjalankan proses mengubah tanggapan agar pesara tidak dianggap sebagai golongan yang hanya menerima dan mengharapkan belas kasihan orang lain sebaliknya merupakan golongan yang berdikari dengan tidak membebankan keluarga dan kerajaan.

"Mereka harus menonjolkan diri sebagai golongan yang banyak pengalaman dan dapat menyumbang tenaga dan khidmat mereka kepada masyarakat," katanya.

Persatuan itu kini mempunyai 30,000 anggota. - BERNAMA

Artikel Lain