suria

Perkhidmatan KTM Intercity Di Pantai Timur Pulih

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan KTM Antarabandar di wilayah pantai timur yang mengalami gangguan ekoran kegelinciran koc Ekspres Senandung Timuran (Tumpat-Woodlands) antara Krambit-Jerantut awal pagi Isnin kembali pulih pada pukul 2.56 petang.

KTM Berhad dalam kenyataannya memaklumkan koc yang tergelincir telah diangkat dan semua perkhidmatan KTM Antarabandar sudah mula beroperasi seperti biasa.

Insiden yang membabitkan koc tren Ekspres Senandung Timuran pada pukul 3.08 pagi di Km196.75 mengakibatkan gangguan perkhidmatan kepada tren Ekspres Wau (Kuala Lumpur-Tumpat) yang dihentikan di Stesen Jerantut, dengan penumpang meneruskan perjalanan ke Stesen Tumpat dan stesen-stesen perantaraan menggunakan bas.

Ekoran kejadian itu, perkhidmatan tren laluan Kuala Lipis-Woodlands dan Woodlands-Gemas juga dibatalkan.

KTM Berhad memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul akibat insiden itu. -BERNAMA

Artikel Lain