suria

Pelantikan Sembilan Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Disahkan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat yang bermesyuarat hari ini mengesahkan pelantikan sembilan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Sembilan anggota yang dilantik itu terdiri daripada lima anggota Parlimen Barisan Nasional mewakili semua kaum terbesar termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (wakil bagi Sabah dan Kadazan) sebagai pengerusi jawatankuasa khas itu.

Empat yang lain ialah Datuk Alexander Nanta Linggi (wakil bagi Sarawak dan Iban), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (wakil Umno dan Melayu), Tan Sri Dr Fong Chan Onn (wakil MCA dan Cina) serta Anggota Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan (wakil MIC dan India).

Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih yang dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini turut mengesahkan pelantikan tiga wakil rakyat pembangkang iaitu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya DAP Anthony Loke.

Konsensus Bebas sepakat melantik Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong untuk mewakili mereka di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas itu.

Menurut kenyataan pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, nama kesemua anggota yang dilantik itu akan diumumkan pada persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Turut hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilih ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anggota Parlimen Kulai Tan Sri Ong Ka Ting, Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam, Anggota Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang.

Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan, yang diluluskan penubuhannya oleh Dewan Rakyat semalam, bertanggungjawab untuk mengkaji perkara-perkara yang akan memperkukuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengkaji proses pilihan raya yang bebas dan adil.

Tempoh pelantikan jawatankuasa pilihan khas itu adalah selama enam bulan dan bertanggungjawab menyiapkan dan membentangkan penyata Jawatankuasa yang mengandungi syor-syor berkaitan kepada Dewan Rakyat. - BERNAMA

Artikel Lain