suria

Kumpulan Terakhir Pelajar Malaysia Di Syria Tiba Esok

KUALA LUMPUR: Kumpulan terakhir pelajar Malaysia di Syria, iaitu seramai 43 orang, akan tiba di tanah air esok, demikian menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, Selasa.

Kumpulan berkenaan akan menjadikan jumlah keseluruhan pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari negara bergolak itu adalah seramai 139 orang.

"Proses membawa pulang mereka yang diselaraskan kementerian bersama Majlis Keselamatan Negara dan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik dan ia melibatkan tiga peringkat penghantaran dengan yang pertama pada 19 Sept lalu," menurut kenyataan itu.

Keputusan untuk membawa mereka pulang dibuat kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak diingini akibat pergolakan di negara berkenaan.

Sementara itu, baki 60 pelajar Malaysia yang masih berada di Syria dan mendaftar dengan kedutaan adalah selamat dengan sejumlah besar mereka akan berpindah ke negara jiran.

Pihak kedutaan juga sentiasa berhubung serta menasihatkan rakyat Malaysia di Syria agar sentiasa peka dan berwaspada dengan keadaan semasa dan menjauhi tempat-tempat rusuhan.

Wisma Putra juga menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan lawatan ke negara itu, buat sementara waktu sehingga keadaan bertambah baik. - BERNAMA

Artikel Lain