suria

Keluarga Teoh Gagal Cabar Keputusan Suruhanjaya Siasatan

KUALA LUMPUR: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock gagal dalam permohonan bagi mencabar keputusan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja yang mendapati kematiannya disebabkan oleh bunuh diri.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohanan Yusuf menolak permohonan itu dalam kamar kerana Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 13 Sept dalam kes klip video peguam Datuk V.K.Lingam bahawa semua keputusan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak boleh disemak semula.

"Oleh itu, permohonan ini ditolak," kata peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, kepada pemberita, Selasa.

Pada 24 Ogos lepas, abang Beng Hock, Meng Kee, mengemukakan permohonan itu bagi pihak keluarganya.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia negeri Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya Siasatan Diraja itu, yang diketuai Tan Sri James Foong Cheng Yuen, mendapati Teoh mati kerana bunuh diri selain mengesahkan bahawa pegawai-pegawai SPRM tidak mempunyai sebarang sebab membunuh Teoh. - BERNAMA

Artikel Lain