suria

Jemaah Haji Diingat Jangan Sembunyi Penyakit

MADINAH: Jemaah haji diingatkan supaya tidak memalsukan atau cuba menyembunyikan sebarang maklumat mengenai penyakit yang dialami semata-mata kerana hendak menunaikan haji.

Pengarah Operasi Haji (Perubatan) Madinah Dr Mahyin Kudong berkata setiap tahun pihaknya menemui kes-kes membabitkan jemaah menyembunyikan atau cuba memalsukan maklumat mengenai keadaan kesihatan kerana bimbang tidak akan dibenarkan mengerjakan haji.

Beliau berkata tindakan jemaah menyembunyikan penyakit akan hanya menyukarkan pihak perubatan mengesan masalah kesihatan yang dialami jemaah dengan segera sekiranya mereka jatuh sakit secara tiba-tiba di sini.

"Jemaah perlu jaga banyak perkara, ubat mesti diambil pada masanya, minum air mesti banyak, jangan terdedah lama kepada cahaya matahari, banyakkan berehat, dan pastinya langkah menyembunyikan penyakit akan hanya tambah menyulitkan keadaan," katanya kepada pasukan petugas media Tabung Haji di pusat rawatan jemaah haji di bangunan Alauddin di sini.

Dr Mahyin berkata antara penyakit yang sering cuba disembunyikan jemaah ialah seperti diabetis, sakit buah pinggang dan darah tinggi.

Terdahulu, para petugas media dibawa meninjau kemudahan rawatan yang disediakan di pusat rawatan dengan kemudahan 20 katil untuk pesakit yang baru dibuka beberapa hari lepas itu.

Dr Mahyin berkata jumlah katilnya boleh ditambah lagi jika perlu, dan menurut beliau setiap tahun jumlah katil sememangnya perlu ditambah kerana jumlah pesakit yang banyak.

"Jika jumlah katil yang ditambah sudah tidak cukup lagi, barulah pesakit dihantar ke hospital kerajaan Arab Saudi, tapi setakat ini tidak ada jemaah yang dihantar ke hospital Arab Saudi kerana masalah kurang katil. Cuma jika jumlah katil ditambah apabila perlu, ruangnya mungkin tidak cukup selesa, tapi biasanya tidak serius dan tidak berpanjangan," katanya.

Beliau berkata rombongan perubatan haji kali ini terdiri daripada 253 petugas dengan 30 terdiri daripada doktor pakar, 19 pegawai perubatan, manakala selebihnya penolong pegawai perubatan serta jururawat. Mereka ditugaskan di dua bandar utama, Mekah dan Madinah.

Di Madinah satu pasukan perubatan dengan seorang doktor sentiasa ditempatkan di lapangan terbang sebaik sahaja penerbangan membawa jemaah haji dari Malaysia tiba, dan satu pasukan dengan diterajui dua doktor ditempatkan di dua tempat penginapan jemaah utama di Madinah, masing-masing satu pasukan di Hotel Al-Haram dan Hotel Movenpick. Selebihnya ditempatkan di bangunan Alauddin di sini. - BERNAMA

Artikel Lain