suria

Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen: Ahli Parlimen Sepanggar Kecewa Pelantikan Maximus

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun pada Selasa menyatakan rasa kecewa terhadap pelantikan wakil Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili selaku ketua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini.

Beliau berkata kedudukan Ongkili sebagai menteri Kabinet akan mewujudkan konflik berkepentingan dan menyukarkan beliau untuk menyuarakan permasalahan rakyat di Sabah.

"Senarai ahli jawatankuasa yang dilantik selain seorang dari Sarawak, adalah dari Semenanjung Malaysia yang kurang pengalaman dengan keadaan sebenar di Sabah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Eric yang juga ditemani Datuk Chua Soon (Bebas-Tawau) mewakili Parti Maju Sabah (SAPP).

Kedua-duanya turut mendakwa timbul beberapa masalah melibatkan warga asing yang diberi kad pengenalan dan dibenarkan mengundi.

"Masih ramai pengundi yang telah meninggal dunia disenaraikan sebagai pengundi malah nama mereka turut disalahgunakan segelintir pihak untuk mengundi," kata Soon Bui.

Sehubungan itu, mereka mencadangkan agar seorang lagi anggota jawatankuasa tersebut dilantik di kalangan wakil rakyat Sabah.

Jelas Eric, mereka telah menghantar sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai cadangan itu sebaik sahaja penubuhan jawatankuasa itu diumumkan Perdana Menteri.

Artikel Lain