suria

JAKIM Diminta Ambil Tindakan Terhadap Anwar: Zulkifli

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa cuba menyebarkan ajaran pluralisma di negara ini.

Beliau berkata, tindakan Anwar itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh memesongkan akidah umat Islam.

"Fahaman pluralisma dikategorikan sebagai sesat oleh JAKIM. Ini tidak boleh diterima...soal akidah tidak boleh dipermainkan.

"Terdapat dua perbezaan besar di antara plurality dan pluralisma. Plurality adalah perbezaan agama yang mana kita hormati agama lain tapi dalam soal menyamakan agama itu pluralisma," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan Anwar di London School of Economics di London pada 18 Mac tahun lalu yang disahkan oleh JAKIM mengandungi ciri-ciri fahaman pluralisma.

Sehubungan itu, Zulkifli berkata, Anwar patut diambil tindakan sama seperti yang dilakukan JAKIM terhadap Ayah Pin dan kumpulan Al-Arqam.

Zulkifli turut menggesa pemimpin PAS supaya memperbetulkan fahaman Anwar yang dianggap menyeleweng dari segi akidah.

"Sebelum PAS cakap pasal isu hudud, mereka perlu cakap pasal isu sendiri dulu. Kalau sendiri tak betul macam mana nak laksanakan hudud. Ini serupa macam peribahasa ketam mengajar anak berjalan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim menasihati bekas sekutunya itu supaya bertaubat dan berhenti menggadai agama Islam.

"Jangan lagi guna agama Islam untuk agenda politik bagi mempengaruhi umat Islam. Apa yang dilakukan Anwar menyimpang dari landasan Islam," katanya.

Artikel Lain