suria

Sarawak Perlu Latih Ramai Pelajar Teknikal Peringkat Sijil & Diploma - Taib

KUCHING: Lebih banyak kempen dan pendekatan perlu dibuat oleh pihak institusi teknikal dan vokasional tempatan untuk menarik minat pelajar menceburi bidang teknikal di peringkat sijil dan diploma, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata untuk tempoh 20 tahun akan datang, bidang teknikal peringkat separuh mahir dijangka memenuhi pasaran utama bidang kerja di negeri ini dengan wujudnya pelbagai bidang industri di Samalaju dan Tanjung Manis, yang terletak dalam kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Tanggapan menyatakan bahawa bekerja dalam bidang teknikal tidak berprestij tidak lagi relevan pada masa akan datang kerana bidang ini bakal memberi sumber pendapatan yang lebih tinggi khasnya di peringkat separuh mahir," katanya ketika merasmikan persidangan Teknikal Nasional Pembangunan Sumber Manusia keempat di sini, Isnin.

Beliau berkata ibu bapa, terutamanya yang berada di kawasan luar bandar, perlu diberikan lebih banyak pendedahan tentang peluang pasaran kerja dalam bidang teknikal kerana masih ramai di kalangan anak-anak luar bandar yang terlepas peluang kerana tidak memiliki kelayakan daripada segi akademik.

Permintaan yang tinggi dalam bidang teknikal pada masa akan datang mendorong kepada pemberian gaji lebih lumayan berasaskan kepada kelayakan akademik dalam bidang berkenaan, katanya.

Taib berkata sumber tenaga manusia pada tahap separuh mahir amat diperlukan kerana kumpulan itu adalah komponen paling besar dalam beberapa bidang industri di SCORE.

Pada majlis itu, Taib turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dengan TAFE (Training and Further Education) Central Institute of Technology yang membolehkan kedua-dua pihak membuat pertukaran dan kerjasama tenaga pengajar serta penuntut selain menjadikan PPKS sebagai pusat TAFE Australia di Sarawak.

Pengerusi PPKS Tan Sri Abdul Aziz Hussain menandatangani MoU itu bagi pihak PPKS manakala Pengerusi Majlis Senat Prof Datuk Lance Twomey bagi pihak TAFE Central -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain