suria

Polis Berkas Lelaki Di Bilik Hotel

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol selepas menyerbu bilik sebuah hotel tempat dia menginap di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata lelaki berusia 47 tahun itu berasal Petaling Jaya dan ditahan pada 2 pagi setelah polis menerima aduan mengenai satu pergaduhan di lobi hotel berkenaan.

"Sepasukan anggota polis bergegas ke hotel itu selepas kita menerima panggilan dari seorang lelaki memaklumkan terdapat satu pengaduhan antara dua lelaki di lobi hotel dan sebaik polis sampai, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Beliau berkata polis kemudian menyerbu sebuah bilik di hotel berkenaan dan menahan seorang lelaki serta menemui sepucuk pistol dan tujuh butir peluru yang disembunyikan di bawah tilam.

Gan berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai dua kes jenayah lampau berkaitan gaduh dan menginap di hotel berkenaan sejak tiga hari lepas.

Dalam kes lain, polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes curi dan pecah rumah di Batu Feringghi dan Batu Maung di sini.

Mereka ialah Ng Boon Soon, 38, dari Pandamaran, Selangor, dan Cheng Ban Seng, 27, Lintang Minden, Taman Utama di sini.

Gan meminta sesiapa yang mengenali mereka agar menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain