suria

Pengunjung Kafe Siber Cedera Parah Ditetak

KUANTAN: Seorang pelanggan kafe siber cedera parah selepas tangan kirinya ditetak beberapa kali dengan parang dalam satu kejadian cubaan samun di Medan Warisan di Jalan Kuantan-Gambang di sini malam Sabtu.

Ketika kejadian pada 8.15 malam itu, hanya mangsa yang berumur 62 dan juruwang kafe berkenaan yang berumur 55 yang berada di dalam kafe tersebut.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku ketika tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dan kapak memasuki premis berkenaan.

"Salah seorang daripadanya menghampiri mangsa dan mengacukan parang ke lehernya sambil meminta wang. Mangsa menjawab dia tidak mempunyai wang. "Ini menyebabakan seorang lagi suspek menjadi berang lalu bertindak menetak lengan kiri mangsa beberapa kali sebelum kesemua mereka melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Noor Asyikin berkata semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dipercayai melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan di luar premis berkenaan.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan dengan keadaannya dilaporkan stabil. Juruwang terbabit tidak dicederakan," katanya.

Polis masih memburu ketiga-tiga suspek dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain