suria

Pengambilan Balik Tanah Di Pulau Indah Ambil Masa Lama: Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Isnin, pengambilan balik tanah di Pulau Indah bagi pembangunan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mengalami masalah hingga mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan.

Bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Tan Sri Dr Ting Chew Peh, 68, berkata masalah pengambilan tanah berlanjutan sehingga dua setengah tahun selepas Kementerian Kewangan membuat keputusan pada Jun 2001.

Tanpa memberitahu apakah masalah yang dihadapi, saksi kelapan pendakwaan bagi perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik itu berkata berikutan keadaan itu pihak jemaah LPK mengadakan mesyuarat beberapa kali sepanjang 2002 namun ia masih menemui jalan buntu hingga terpaksa mengadakan rundingan semula bagi melaksanakan projek tersebut.

Katanya melalui mesyuarat jemaah LPK, perancangan daripada pengambilan diubah kepada pembelian tanah walaupun keputusan Kementerian Kewangan pada masa itu adalah untuk memperolehnya menerusi pengambilan balik.

Ting, yang merupakan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata jemaah LPK kekal dengan pendirian untuk membeli tanah itu dan bertindak memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Pengangkutan.

Berikutan keputusan membeli tanah itu, beliau telah menandatangani surat perjanjian jual beli antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan LPK pada 12 November 2002 dan yakin isi kandungan surat perjanjian itu teratur setelah mendapat penjelasan daripada penasihat undang-undang iaitu Roshanah Othman.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup ketika pemeriksaan utama adakah beliau mengetahui bila Jemaah Menteri meluluskan pembelian tanah itu, Ting berkata: "Saya tidak ingat tarikh tetapi ada diberitahu perkara ini (pembelian) telah diluluskan Jemaah Menteri sebelum saya menandatangani perjanjian itu."

"Pada 6 November 2002, LPK diberitahu secara rasmi bahawa Kabinet telah meluluskan pembelian tanah," katanya.

Dr Ling, 68, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain