suria

Penemuan Mayat Bayi: Seorang Wanita Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita berumur 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat bayi perempuan di dalam longkang di sebuah flat di Taman Selayang Segar 2 di sini pagi, Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata wanita tersebut yang merupakan seorang pelatih di sebuah restoran di Bandar Baru Selayang ditahan di asramanya kira-kira pukul 9.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, suspek mengaku telah melahirkan bayi tersebut di tandas asrama penginapannya yang terletak berhampiran restoran itu kira-kira pukul 4 pagi.

"Selepas melahirkan, suspek mendakwa bayinya tidak lagi bernyawa dan mengambil keputusan untuk membuangnya ke dalam longkang," katanya kepada Bernama.

Bayi yang cukup sifat dan masih mempunyai tali pusat itu berada dalam keadaan tertiarap di dalam longkang ketika dijumpai oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi.

Asrama itu turut menempatkan lapan orang lagi pelatih restoran tersebut.

Abdul Rahim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat secara sulit, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mayat bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Selayang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain