suria

Kerajaan Terus Digesa Laksana Pendaftaran Pemilih Secara Automatik

KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi digesa untuk melaksanakan proses pendaftaran pemilih secara automatik apabila seseorang warganegara mencapai usia 21 tahun.

Perkara itu sebelum ini telah beberapa kali dibangkitkan pelbagai pihak terutama selepas kerajaan mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata proses pendaftaran secara automatik boleh menjimatkan masa dan wang ringgit kerana parti-parti politik tidak perlu lagi berkempen untuk menarik orang ramai supaya menjadi pengundi, selain pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu turun padang untuk mendaftarkan mereka.

"Buat apa susah payah. Kita boleh buat online...automatik...asalkan warganegara, ada kad pengenalan, terus jadi pengundi. Jangan pula jadikan jawatankuasa ini tidak buat apa-apa," katanya ketika membahaskan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Isnin. Usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Cadangan Bung Mokhtar itu disokong Mohd Yusmadi Mohd Yusof (PKR-Balik Pulau) yang turut mencadangkan agar had umur pemilih diturunkan kepada 18 tahun.

Bung Mokhtar berkata perkara itu biarlah diputuskan oleh jawatankuasa itu nanti.

Seorang lagi anggota Parlimen, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pula mencadangkan SPR bekerjasama dengan Naib Canselor di universiti-universiti untuk membuka kaunter pendaftaran pemilih di dalam kampus.

"Saya semak secara rawak, ramai pelajar universiti yang cukup umur tetapi tidak mendaftar. Kalau dapat buka kaunter, saya rasa separuh daripada mereka boleh didaftarkan tanpa masalah," katanya. Selain itu beliau mencadangkan agar sebarang ceramah atau kempen oleh parti-parti politik diharamkan sebaik sahaja tamat pilihan raya.

Katanya, ceramah yang berjalan sepanjang tahun seperti yang diamalkan sekarang hanya membazir masa dan tenaga serta tidak menyumbang kepada perpaduan rakyat Malaysia.

"Sepatutnya lepas pilihan raya tumpukan kepada usaha bangunkan rakyat, usaha pembangunan...dah dekat pilihan raya nanti baru kempen," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar mana-mana anggota keluarga calon yang telah bertanding agar tidak turut bertanding untuk mengelakkan masalah kronisme.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) pula berkata sebarang perjuangan dalam politik perlulah berdasarkan hati nurani yang baik.

Katanya mana-mana pihak yang mempersoalkan daftar pemilih sama ada pembangkang atau Bersih, mereka sebenarnya mempunyai syak wasangka yang tidak baik.

"Ini tidak bawa berkat. Jangan ingat dengan ubah segala ini boleh menang. Allah yang tentukan, jangan terlalu yakin. Perjuangan Permatang Pauh nak jadi Perdana Menteri sampai sekarang tak berjaya. Kenapa? Sebab tak berkat. Hati nurani betulkan dulu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain