suria

Pegawai Perhubungan Sekolah Diminta Kerap Kunjungi Sekolah

TEMERLOH: Pegawai polis yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di Pahang perlu lebih kerap mengunjungi sekolah terutama yang sering berhadapan dengan masalah disiplin pelajar, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Shariffuddin Ab Ghani.

Beliau berkata mereka juga perlu berhubung rapat dengan masyarakat dan ibu bapa bagi menghindari gejala jenayah di kalangan pelajar seperti mencuri motosikal, berlumba haram, rogol, penagihan dadah, samun dan pecah rumah yang sering kali dikaitkan dengan golongan remaja.

"Polis dengan kerjasama masyarakat telah berjaya mengurangkan aktiviti jenayah harta benda dan kekerasan yang melibatkan remaja dan belia di beberapa daerah di Pahang sebanyak 1.73 peratus sehingga Ogos lepas.

"Usaha ini perlu ditingkatkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bulan Pencegahan Jenayah Kontijen Pahang di sini, Ahad.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Shariffuddin berkata anggota polis dan masyarakat perlu menjadi rakan setia bagi membantu dan menangani aktiviti jenayah. - BERNAMA

Artikel Lain