suria

Sejarah Negara Tidak Wajar Dipolitikkan - Sultan Kedah

SINTOK: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah bahawa mana-mana pihak tidak wajar mempolitikkan sejarah negara, sebaliknya menjadikan ia sebagai panduan hidup.

Baginda bertitah sejarah menjadi inti kepada jati diri dan ia merupakan kompas hidup seseorang.

"Sejarah tidak wajar dipolitikkan. Jika sejarah menyatakan komunis menyerang rakyat dan anggota keselamatan suatu ketika dahulu, janganlah pula kita menyatakan sebaliknya dan menghalalkan kekejaman komunis.

"Beta melihat anak-anak muda terlalu berorientasikan masa depan. Memang banyak kebaikan kita memikirkan masa depan, kita akan berusaha mengejar cita-cita dan bersungguh-sungguh melaksanakan sesuatu kerja," titah baginda pada majlis Konvokesyen ke-24 Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, titah baginda terlalu berorientasikan masa depan juga mempunyai keburukan kerana kita akan melupai fakta sejarah.

"Seperti kata ahli falsafah barat, mereka yang tidak mempelajari sejarah akan didera dengan mengulangi segala kesalahan dahulu," titah Sultan Kedah.

Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak berkata seramai 8,556 graduan terlibat pada konvokesyen kali ini.

Mereka terdiri daripada dua graduan Ijazah Kehormat, Ijazah Doktor Falsafah (69), Doktor Pentadbiran Perniagaan (empat), Ijazah Sarjana (1,887), Ijazah Sarjana Muda (6,357), Ijazah Sarjana Pengurusan Awam (30) dan Diploma Lepasan Ijazah (Diploma Pendidikan) (194), katanya. "Konvokesyen kali ini juga akan menyaksikan seramai 162 graduan berjaya mendapat Ijazah Kelas Pertama daripada jumlah keseluruhan 6,357 graduan sarjana muda. "Selain itu, konvokesyen kali ini turut menampilkan kelahiran graduan sulung program Ijazah Sarjana Undang-undang Komersil seramai empat orang graduan dan Ijazah Sarjana Sains (Ekonomi Gunaan) seramai sembilan graduan," katanya.

Mohamed Mustafa berkata pihak universiti juga sangat berbesar hati menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Politik dan Pembangunan) kepada bekas menteri kabinet yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid.

Turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Perdagangan Antarabangsa) ialah bekas Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz. -BERNAMA

Artikel Lain