suria

'Langgar & Rompak' Taktik Terbaru Penjenayah

KUALA LUMPUR: ‘Langgar dan rompak’ itulah taktik terbaru yang digunakan penjenayah terhadap pemandu kereta pada waktu malam di bandar raya Kuala Lumpur ketika ini.

Pada kebiasaannya penunggang motosikal akan melanggar belakang kereta-kereta mewah yang berhenti di lampu isyarat pada waktu jalan lengang lewat tengah malam.

Apabila mangsa keluar daripada kereta untuk melihat kerosakan yang berlaku, perompak berkenaan akan merampas kunci kereta dan memecut pergi dengan pantas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Mohmad Salleh berkata berdasarkan siasatan polis yang dijalankan mendapat terdapat beberapa kumpulan bergiat aktif di sekitar pusat bandar dan kawasan sekitarnya.

"Ada beberapa kes seperti ini dan berdasarkan siasatan yang dijalankan mendapati terdapat beberapa kumpulan yang terlibat dengan jenayah ini,” katanya selepas menyaksikan penyerahan tugas antara Ketua Jabatan Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Abdul Hamid Mohamad kepada Asisten Komisioner Fuzi Zaman.

Abdul Hamid dinaikkan pangkat Komander Unit Simpanan Persekutuan (FRU)dengan pangakt Senior Asisten Komisioner (SAC).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata siasatan sedang dijalankan dan pihak polis sedang mengumpulkan maklumat untuk melumpuhkan usaha kumpulan berkenaan.

Katanya, terdapat beberapa kes yang sama direkodkan di ibu kota seperti mana yang dilaporkan malam Rabu lalu.

Ketika kejadian, Ong Ming Chiang, 26, sedang memandu dari Jalan Kuching menuju ke Selayang.

Dia yang memandu kereta jenis Honda Accord tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal.

Apabila dia keluar dari kereta untuk melihat kerosakan yang berlaku, tiba-tiba empat lelaki menyerbu ke arahnya dan merampas kunci keretanya tanpa menyedari anak lelaki Ong yang baru berusia 14 bulan berada di tempat duduk belakang.

Ternyata Ong bernasib baik apabila, dia kemudiannya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan mereka telah menemui anaknya diikat pada kerusi bayi yang diletakkan di luar sebuah restoran kurang dua kilometer daripada tempat kejadian.

Dalam satu kes yang berasingan, Mohamad berkata seorang pemilik trak tunda telah ditembak sebanyak 12 kali dan selamat dalam kejadian tersebut merupakan salah seorang mangsa persaingan geng kumpulan.

Menurutnya, pihak polis masih belum mencatatkan kenyataan daripada mangsa, P. Subramaniam, 43, kerana mangsa masih belum dalam keadaan stabil.

Artikel Lain