suria

Golongan Beliawanis Punya Peluang Jadi Calon Pilihan Raya – Kong

KUALA LUMPUR: Golongan beliawanis MCA punya peluang diangkat sebagai calon pada pilihan raya umum ke-13 dengan syarat punya 'kemampuan untuk menang' kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata pemilihan calon adalah berdasarkan prestasi mereka.

"Sesiapa yang punya peluang terbaik untuk memenagi kerusi yang ditandingi akan berpeluang untuk menjadi calon," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita MCA di Wisma MCA pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan perasmian oleh Ketua Wanita MCA, Datuk Yu Chok Tow yang mendesak parti itu memberi lebih banyak peluang kepada muka baru dan golongan beliawanis pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu, dalam ucapannya Kong berkata ancaman terbesar wanita pada masa kini ialah matlamat PAS untuk melaksanakan undang-undang Hudud di negara ini.

Sementara itu, Yu berkata pergerakan itu akan mencalonkan lebih ramai muka baru yang berpeluang cerah untuk menang, dan mereka sememangnya berkebolehan dan mempunyai pendidikan yang tinggi.

Beliau memberitahu pemberita bahawa MCA perlu meletakkan lebih ramai calon wanita berbanding 15 pada pilihan raya umum 2008 bagi ke arah mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam bidang politik. Katanya 106,604 daripada 431,648 anggota Wanita MCA terdiri daripada golongan beliawanis dan pergerakan itu bersedia memberi laluan kepada golongan muda untuk menjadi calon.

Dalam ucapannya, Yu berkata MCA banyak menabur bakti kepada masyarakat Cina, termasuk dalam bidang pendidikan melalui penubuhan Kolej Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

Selain itu, beliau berkata Wanita MCA menolak pelaksanaan hukum hudud yang dicadangkan PAS, sambil menyifatkannya sebagai strategi politik parti pembangkang tersebut.

Yu berkata percanggahan pendirian dalam kalangan pemimpin pembangkang mengenai hukum hudud menunjukkan mereka masing-masing mempunyai agenda tersendiri dan tidak berminat untuk membangunkan rakyat keseluruhannya.

Artikel Lain