suria

Gagasan 1Malaysia Perkukuhkan Perpaduan Nasional - Tun Juhar

KOTA KINABALU: Gagasan 1Malaysia memberi harapan rakyat menguatkan perpaduan dan memperkukuhkan jati diri ke arah pembangunan nasional, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata konsep itu, yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mengingatkan rakyat supaya memelihara dan menghargai keharmonian serta mengekalkan perpaduan demi mencapai kemajuan bersama.

"Kita bersyukur negara bebas daripada malapetaka seperti melanda negara lain, baik bencana alam mahupun pemberontakan dan rusuhan yang membantutkan usaha pembangunan," katanya ketika berucap pada istiadat pengurniaan darjah kebersaran sempena hari jadi rasmi beliau ke 58 di Istana Negeri di sini, Sabtu.

"Biarpun kita pernah mengalami perhimpunan haram, anggota keselamatan kita dapat mengawal perhimpunan itu daripada menjadi buruk kerana rakyat kita cintakan keamanan," katanya.

Juhar berkata perpaduan yang sedia terjalin membolehkan kerajaan melaksanakan program pembangunan dengan lancar, sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pada istiadat itu, Pengarah Lembaga Kebudayaan Sabah Datuk Wences Anggang mengetuai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat negeri dengan menerima anugerah tertinggi Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran 'Datuk Seri Panglima.'

Turut menerima anugerah SPDK ialah hakim mahkamah rayuan Datuk Sulong Matjeraie dan bekas timbalan ketua menteri Sabah Datuk Tham Nyip Shen.

Antara penerima yang hadir menerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran 'Datuk' ialah Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Pang Yuk Ming, anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Banggi Abdul Mijul Unaini, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah Almudin Kaida, Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri SAC Tan Kok Liang, Pengarah Pertanian Negeri MC Ismail Salam dan pejalan kaki amal Sabah, Elizabeth Maurice.

Seramai 722 orang disenaraikan penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat sempena hari jadi rasmi Yang Dipertua Negeri tahun ini yang biasanya disambut pada 16 September.

Bagaimanapun, sambutannya diadakan pada Sabtu pertama bulan Oktober sejak tahun lepas apabila tarikh 16 September diisytiharkan sebagai cuti Hari Malaysia. -BERNAMA

Artikel Lain