suria

Sekolah Aliran Inggeris Tidak Akan Diwujudkan:Muhyiddin

SERDANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sekolah aliran Bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini melainkan sekiranya berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Katanya, sebagai Menteri Pelajaran, beliau bertanggungjawab melaksanakannya berdasarkan kepada akta dan dasar yang menyatakan Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan.

"Selagi ia tidak berubah dan dasar itu masih kekal maka tidak akan wujud sekolah aliran Bahasa Inggeris. Di sekolah swasta, itu lain ceritalah," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia di sini, Jumaat.

Menurut Muhyiddin, seperti yang dipersetujui sebelum ini, sekolah jenis kebangsaan akan menggunakan Bahasa Mandarin atau Bahasa Cina dan Bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar.

Sementara itu, beliau juga berkata bahasa yang mudah untuk diajar kepada anak-anak di peringkat rendah adalah bahasa ibunda.

Jelasnya, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat lembaga eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang dihadirinya di Paris baru-baru ini.

"Oleh itu, orang Cina nakkan sekolah bahasa Cina, orang India nak sekolah Bahasa Tamil, begitu juga di Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai bahasa," katanya.

Sementara itu, beliau berkata tindakan Kementerian Pelajaran untuk tidak melaksanakan semula Pembelajaran Sains Dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012 bukan kerana tidak menyukai Bahasa Inggeris sebaliknya ingin memartabatkan Bahasa Melayu dan pada masa sama memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris.

"Kita laksanakannya kerana penggunaan Bahasa Inggeris membawa kesan begitu negatif khususnya di luar bandar. Mereka sukar menjawab soalan peperiksaan kerana lebih mahir dengan bahasa ibunda," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, penguasaan Bahasa Inggeris wajar dipertingkat tetapi Bahasa Melayu tidak boleh diabaikan.

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain