suria

Saman Bekas Pengerusi MAS: Portal Malaysian Insider Akui Siar Berita Tanpa Fakta

KUALA LUMPUR: Portal berita The Malaysian Insider pada Jumaat mengemukakan permohonan maaf terhadap bekas Pengerusi Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli kerana penerbitan berita tanpa fakta dan berunsur fitnah.'

Syarikat The Malaysian Insider Sdn Bhd, Ketua Pegawai Eksekutifnya Jahabar Sadiq dan wartawan Shazwan Mustafa Kamal menyerahkan surat kenyataan itu menerusi peguam mereka George Miranda di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Harminder Singh Dhaliwal di dalam kamar di sini.

Turut hadir peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin.

Di luar mahkamah, Miranda memberitahu pemberita bahawa kesemua pihak menandatangani surat kenyataan maaf itu dan selain kenyataan tersebut, beberapa terma lain turut dibincangkan tetapi tidak boleh didedahkan.

Melalui surat tersebut ketiga-tiga pihak menyatakan kekesalan mereka di atas segala kesulitan yang dialami Tajudin berikutan tersiarnya berita berkenaan.

Kesemua pihak juga bersetuju menarik balik berita yang disiarkan serta mengakui berita itu fitnah, tidak berasas dan tanpa sebarang fakta sahih.

Penyelesaian hasil rundingan di luar mahkamah ini adalah rentetan daripada permohonan saman Tajudin terhadap portal itu berjumlah RM200 juta pada 18 Ogos lepas.

Beliau menamakan syarikat The Malaysian Insider Sdn Bhd sebagai defendan pertama, Jahabar dan Shazwan sebagai defendan kedua dan ketiga. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain