suria

Polis Tahan Tiga Lelaki Berhubung Kes Curi Komputer Bernilai RM35,000

GEORGE TOWN: Polis menahan tiga lelaki dipercayai mencuri peralatan komputer di sebuah pusat kelas komputer bernilai lebih RM35,000 yang dilaporkan hilang, dalam satu serbuan di Bayan Baru di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supritendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata kesemua suspek berusia antara 27 hingga 32 tahun, ditahan secara berasingan di rumah mereka di Jelutong, Kubang Semang dan Pokok Sena.

"Polis mendapat laporan daripada pemilik premis tersebut yang mendapati pintu hadapan kedainya terbuka dan pemeriksaannya mendapati sebanyak 13 set komputer jenama DELL telah hilang," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut polis menemui barangan curi tersebut di salah sebuah rumah suspek di Pokok Sena, antaranya 13 unit komputer jenama Dell bersama peralatan komputer seperti CPU, papan kekunci dan tetikus.

Hatta berkata suspek pertama, yang bekerja sebagai pembantu kedai buku menjalankan kegiatan berkenaan seorang diri dengan berulang-alik sebanyak dua kali mengangkut barangan itu dari premis berkenaan menggunakan kereta yang dipinjam daripada kawannya.

"Dia menjual barangan curi itu kepada suspek kedua dengan harga RM1,000 manakala suspek kedua pula menjual satu unit komputer itu kepada suspek ketiga dengan harga RM400," katanya.

Katanya hasil siasatan mendapati suspek pertama itu tidak mempunyai rekod jenayah dan dipercayai melakukan kegiatan berkenaan kerana masalah kewangan ekoran lewat mendapat gaji.

Katanya ketiga-tiga lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan denda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain