suria

Perjuangan PAS Dalam Hudud Ibarat Musim Padi : Noh Omar

SHAH ALAM: Perjuangan Pas berhubung hukum hudud adalah seperti musim padi, iaitu hanya pada jangka masa tertentu sahaja bukan sepanjang tahun, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata Pas tidak ikhlas memperjuangkan hukum berkenaan kerana ia lebih bersifat menjaga kepentingan politik serta hanya menimbulkannya pada musim-musim tertentu bukannya secara berterusan.

"Macam musim padi di Tanjong Karang, setahun dua kali, tapi hudud Pas ini empat tahun sekali iaitu bila hendak sampai pilihan raya umum barulah timbul," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Negeri Selangor di sini, Jumaat.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata Pas sepatutnya keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya ia benar-benar ikhlas memperjuangkan hukum hudud, dan bukannya bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh rakan pembangkang yang lain.

"Dulu tukar dari (perjuangan menegakkan) negara Islam kepada negara berkebajikan, sekarang bila hudud tidak boleh (diterima oleh DAP), mereka diam dan tunduk. Cuba kalau Umno yang tentang, (Pas akan) tuduh Umno kafir, Umno menentang Islam, tapi bila DAP dan PKR tidak setuju, Pas diam," katanya.

Rabu lepas, majlis pimpinan pakatan pembangkang dilaporkan bersetuju hukum hudud tidak dilaksanakan seperti yang dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Noh berkata walau apapun alasan yang diberikan oleh Pas, yang nyata ialah matlamat dan perjuangan mereka yang kononnya memperjuangkan Islam semakin tidak jelas melainkan hanya mementingkan kuasa serta politik semata-mata.

"Sepatutnya sebagai parti politik yang lama Pas perlu menjadi tunjang dalam pakatan, bukannya PKR atau DAP," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain