suria

Peguam Diperintah Bayar Wang Anak Guam, RM1.6 Juta

KUALA LUMPUR: Seorang pelabur hari ini berjaya memperoleh semula wangnya berjumlah RM1.6 juta setelah disimpan oleh seorang peguam sejak tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan Lew Ban Kin untuk mendapatkan kembali wang tersebut dan turut memerintahkan peguamnya Datuk Sin Yoong Min membayar kos sebanyak RM30,000.

Zabariah membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Mohd Shafiee Afendi yang mewakili Lew dan peguam Ramesh MP Chandran yang mewakili Sin.

Ramesh memberitahu pemberita bahawa hakim membuat keputusan itu setelah mendapati bukti yang dikemukakan Sin tidak konsisten dengan terma yang termaktub dalam perjanjian pakar runding.

"Hakim berkata berdasarkan keterangan, yang telah pun dibuktikan oleh plaintif, perjanjian pakar runding itu adalah palsu. Terdapat terlalu banyak percanggahan dalam keterangan defendan dan beliau bukanlah seorang saksi yang berwibawa," katanya.

Pada 5 Januari lalu, Lew memfailkan writ saman terhadap Sin untuk menuntut RM1.6 juta kerana mendakwa Sin yang merupakan pemegang amanah terhadap wang tersebut enggan menyerahkannya.

Dalam pernyataan tuntutan, Lew mendakwa Sin gagal menunjukkan bukti bahawa wang sebanyak RM1.6 juta masih disimpan di dalam akaun dan wang itu yang sepatutnya digunakan untuk membuka kedai perjudian seperti Magnum 4D bukan sahaja miliknya tetapi juga pelabur lain.

Sementara itu menerusi pernyatan pembelaan, Sin menafikan menyimpan wang tersebut sebagai pemegang amanah, sebaliknya ia dipertanggungjawabkan kepada firma guaman yang lain. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain