suria

Pastikan Kejayaan Pelaksanaan Idea Bernas Cabaran Utama Negara - Mohd Sidek

PUTRAJAY: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata cabaran utama negara pada masa ini ialah memastikan kejayaan pelaksanaan pelbagai idea bernas yang dikemukakan pelbagai pihak.

Beliau berkata kebernasan idea semata-mata tidak akan memajukan negara jika tidak dilaksanakan sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat dan negara.

"Kita mempunyai banyak idea di negara ini, baik Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), RMK10, Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu depan.

"Tetapi cabaran kita adalah untuk melaksanakan idea itu dan memantau pelaksanaan idea itu agar ia berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara kompetitif," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Mohd Sidek yang ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan 'PEMUDAH Challenge Musim ke-2', berkata Malaysia mampu bersaing jika cadangan yang baik dilaksana dengan betul bagi membaiki sistem dan pentadbiran negara terutama di sektor awam.

Beliau berkata PEMUDAH Challenge tahun ini menerima 3,946 idea berbanding 1,105 idea tahun lalu, iaitu 3,289 idea daripada penjawat awam dan 657 idea daripada orang ramai.

Katanya sebanyak 57 idea berguna yang memenangi hadiah tahun ini akan dilaksanakan dalam pelbagai sektor kerajaan untuk memperbaiki mutu dan perkhidmatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain