Lelaki Ugut Timbalan Pendakwaraya Pesakit Mental - Polis - Semasa | mStar

Lelaki Ugut Timbalan Pendakwaraya Pesakit Mental - Polis

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki yang didakwa mengacukan pistol terhadap seorang Timbalan Pendakwaraya di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di rumahnya di Kuala Ibai kira-kira pukul 5 petang semalam dan polis merampas sepucuk pistol mainan, cermin mata dan motosikal yang dipercayai digunakan ketika melakukan ugutan itu.

"Hasil siasatan, polis mendapati suspek mengalami masalah mental dan masih menjalani rawatan. Dia tiada kena mengena dengan apa-apa kes yang dikendalikan pendakwaraya itu," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Jamshah berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata lelaki yang merupakan bekas guru itu kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. "Polis tetap mengklasifikasikan kes itu sebagai satu kes ugutan," katanya.

Dalam kejadian Ahad lepas, Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang, 39, bersama anak perempuannya berusia 14 tahun berhenti di lampu isyarat apabila seorang lelaki yang menunggang motosikal menghampiri dan mengetuk cermin kereta beliau.

Lelaki itu kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dari raga motosikalnya dan mengacukannya ke arah muka mangsa selama dua minit.

Lelaki terbabit menghilangkan diri apabila mangsa memberhentikan keretanya di hadapan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain