suria

Kontraktor India Edar 25 Kilogram Ketamin Dihukum Mati

SHAH ALAM: Tindakan seorang kontraktor warga India menyembunyikan 25 kilogram dadah jenis ketamin di dalam kotak makanan bayi gagal mengaburi pihak berkuasa apabila dia dihukum mati atas kesalahan itu pada Jumaat.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtaruddin Baki menjatuhkan hukuman tersebut selepas berpuas hati bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh, Munuswamy Sundar Raj, 44, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap tuduhan.

Pada penghakimannya, Mohtaruddin menolak pembelaan tertuduh mengatakan beg yang mengandungi 25 kotak makanan bayi jenama 'Rahman' diserahkan oleh seorang lelaki bernama Farouk semasa dia sedang beratur di lapangan terbang di Delhi, India untuk diserahkan kepada seorang rakan dengan upah RM2,000.

"Saya bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan yang mengatakan upah sebanyak itu untuk satu kerja yang mudah akan menimbulkan perasaan sangsi," katanya.

Mohtaruddin juga berkata, dakwaan tertuduh yang mengatakan kehadiran dia ke Malaysia untuk membeli pelbagai peralatan elektrik adalah tidak sepadan dengan wang yang dibawanya semasa ditangkap, iaitu antara 20,000 ke 25,000 rupee.

Munuswamy didakwa mengedar dadah tersebut pada pukul 5.15 petang, 18 Oktober 2008 di Kaunter Pemeriksaan Kastam A, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang mempunyai tiga orang anak didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam DiRaja Malaysia, Nurul Ezwaney Husin manakala tertuduh diwakili oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Tertuduh didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 24 Oktober 2008 dan pada 27 Januari 2010, Mohtaruddin meminda pertuduhan tersebut kepada seksyen yang lebih rendah dan memerintahkan supaya tertuduh dihukum penjara selama lima tahun bermula daripada tarikh tangkap.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan pada 10 Februari 2010 dan Mahkamah Rayuan pada 20 Julai 2010 memerintahkan agar kes tersebut dipulangkan semula ke Mahkamah Tinggi untuk tertuduh membela diri atas pertuduhan mengedar.

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain