suria

Kelantan, Terengganu Berhak Laksanakan Hukum Hudud – Tuan Ibrahim

PETALING JAYA: PAS berpendirian bahawa kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu mempunyai hak untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah masing-masing seperti mana yang telah diperakui oleh Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Ketua Penerangan PAS pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kedua-dua negeri itu berhak melaksanakan undang-undang berkenaan namun persoalan utama adalah kebenaran daripada kerajaan pusat bagi melaksanakan undang-undang berkenaan.

“Persoalan sejauh mana kesediaan kerajaan pusat memberi kebenaran, merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, rakyat Kelantan telah memilih kerajaan PAS atas dasar Islam yang di dukung oleh parti itu justeru, mereka seharusnya diberi hak mengamalkan ajaran mereka.

"Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama.

"Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa enakmen berkenaan ke peringkat seterusnya," katanya.

Mengenai perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah, PAS berpendirian bahawa ia berpusat di atas pentafsiran bahawa ia bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Persoalan pentafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua-dua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," tambahnya.

Pada Khamis, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan untuk tidak melaksanakan hukum Hudud yang dicadangkan PAS kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat menghormati pendirian DAP yang menentang perlaksanaannya tetapi pada masa sama menghargai usaha PAS mencadangkan perkara itu.

Minggu lalu, Pengerusi DAP, Karpal Singh mendesak sekutunya supaya mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan soal rancangan PAS melaksanakan hukum Hudud. Karpal memberitahu DAP sentiasa menentang pembentukan sebuah negara Islam dan tidak akan menerima Hudud sekiranya mereka memperoleh kuasa ke Putrajaya.

Cadangan itu turut di bantah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan hukum Hudud tidak pernah disebut dalam Buku Jingga.

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain