suria

Dasar Landskap Negara Sediakan Hala Tuju Lebih Holistik - Muhyiddin

BANGI: Dasar Landskap Negara mampu menyediakan hala tuju yang lebih holistik selaras dengan usaha kerajaan menyediakan persekitaran hidup berkualiti dan mampan untuk kesejahteraan hidup rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika melancarkan Dasar Landskap Negara dan sambutan Hari Landskap Negara di sini hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau komited untuk melihat pernyataan dasar di bawah tujuh teras yang ditetapkan melalui strategi dan pelan tindakan yang telah digariskan dalam dasar itu dilaksanakan dengan berkesan.

"Pelancaran dasar itu merupakan satu inisiatif penting ke arah mentransformasikan gerak kerja lebih berkesan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan landskap berkualiti, bersih, sihat dan selamat.

"Landskap merupakan aset atau khazanah amat berharga dalam kelangsungan kehidupan seharian. Pembangunan dan pemeliharaan landskap menyumbang secara langsung kepada pembangunan sosioekonomi, alam sekitar dan ketamadunan sesuatu bangsa dan negara," katanya.

Muhyiddin berkata pembentukan karakter landskap negara dengan imej dan identiti tersendiri berasaskan kepelbagaian nilai dan budaya masyarakat yang unik membantu menjadikan Malaysia sebuah negara menarik untuk dilawati atau didiami.

Katanya landskap bukan semata-mata berkaitan dengan nilai estetik, keindahan dan aktiviti menanam pokok tetapi meliputi skop lebih luas.

Dari perspektif ekonomi misalnya, kata Timbalan Perdana Menteri, landskap yang menarik dan mempunyai fungsi tertentu mampu menghasilkan daya tarikan pelancong dan pelabur.

"Fungsi dan reka bentuk landskap juga didapati boleh menyumbang kepada usaha mengurangkan risiko jenayah," katanya.

Dasar itu diluluskan jemaah menteri pada 22 Disember 2010 untuk digunakan sebagai rujukan serta garis panduan operasi untuk membangun dan memelihara landskap sebagai khazanah negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain