suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan di Tapah

IPOH: Sepasang suami isteri dan anak jiran mereka maut apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van dan terbakar di Km 341 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah malam Rabu.

Ramli Yahya, 50, yang memandu kereta itu dan isterinya Maznah Daud, 50 serta anak jiran mereka Muhammad Faez Deraman, 15, mati di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Tapah.

Kesemua mereka yang maut dalam kemalangan pada pukul 11.15 malam tadi itu berasal dari Kampung Masjid Kuala Nerang, Kedah, kata Ketua Polis Trafik Perak Supt Wan Abdullah Ishak.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua-Kancil yang dinaiki ketiga-tiga mangsa yang perjalanan dari utara ke selatan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan melintang di tengah jalan. "Sebuah van yang mengekori dari belakang tidak sempat berhenti lalu merempuh kereta itu menyebabkan pemandu dan penumpang belakang tercampak keluar. Pemandu dan penumpang van tidak cedera," katanya ketika dihubungi hari ini. Abdullah berkata anggota bomba dan penyelamat turut ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran kereta itu.

Di BUKIT MERTAJAM, seorang penunggang motosikal terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta peronda Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di Kilometer 11.3 Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) di sini, Khamis.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ASP S.Manogaran berkata Loh Jin Chea, 32, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Butterworth ke Kulim, Kedah merempuh kereta peronda Plus yang berhenti di lorong kecemasan di laluan sama, katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Katanya mangsa yang menunggang secara sendirian dan tinggal di Taman Emas, dekat sini itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Kulim.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain