suria

Standard Hakim Malaysia Semakin Meningkat - Tun Zaki

SINGAPURA: Standard hakim-hakim di Malaysia semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini hasil daripada program latihan perundangan yang disediakan, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.

"Walaupun latihan itu dijalankan secara ad-hoc, kita boleh melihat perubahan besar dalam keputusan dan penghakiman mereka," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan syarahan pada majlis Syarahan Tahunan ke-18 Akademi Undang-Undang Singapura.

"Juga lebih penting Ketua Hakim Negara yang baru, saya difahamkan telah memohon kepada kerajaan untuk menubuhkan satu badan khas bagi melatih para hakim dan pegawai kehakiman," katanya.

Zaki juga berkata hakim-hakim kini mempunyai lebih banyak masa untuk menulis alasan penghakiman yang lebih berkualiti memandangkan banyak kes tertangguh telah diselesaikan.

Dalam syarahan beliau yang bertajuk 'Undang-Undang Am Malaysia Pada Abad ke-21', Zaki berkata pelantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim di Malaysia melalui banyak peringkat tapisan.

Selepas dipilih sebagai Ketua Hakim Negara, hakim berkenaan perlu mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sebelum nama mereka diserah kepada Perdana Menteri, kemudian Majlis Raja-Raja dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong, kata Zaki.

"Seseorang hakim harus melalui lima peringkat tapisan, tidak terkecuali sembilan Sultan atau Raja yang mungkin menjadi alasan untuk mengeluarkan nama hakim itu daripada senarai," tambah beliau.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan dan Ketua Hakim Negara Singapura Chan Sek Keong. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain