suria

Polis Tahan Pemandu Teksi Samun Guna Pistol

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan seorang pemandu teksi dan rakannya yang dipercayai aktif menyamun bersenjatakan pistol dalam operasi di Lebuhraya Tun Dr Lim Cheong Eu, di sini malam Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata pihaknya turut merampas dua pucuk pistol jenis Browning dan Walther daripada kedua-dua lelaki terbabit dalam operasi 11.45 malam itu.

"Pemandu teksi berusia 38 tahun dan rakannya, 58, berada dalam teksi ketika ditahan dan hasil siasatan mendapati mereka sedang merancang untuk melakukan jenayah samun," katanya kepada media, di sini, Khamis.

Beliau berkata polis menemui kedua-dua pucuk pistol terbabit yang cuba disembunyikan masing-masing di tepi pinggang dan belakang badan.

Katanya modus operandi mereka ialah dengan mengambil penumpang terutama pelancong asing, sebelum membawanya ke kawasan yang agak tersembunyi sebelum disamun.

"Rakan pemandu teksi itu akan bersembunyi di ruang depan tempat penumpang bersebelahan pemandu ketika mengambil penumpang teksi dan mereka akan menyamun sebaik sampai kawasan agak tersembunyi," katanya.

Katanya siasatan awal mendapati mereka aktif menjalankan kegiatan samun sejak beberapa bulan lepas.

Beliau berkata dua lelaki itu yang turut mempunyai rekod jenayah berkaitan bunuh, curi dan dadah kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain