suria

Polis Tahan 11 Lelaki Asyik Berjudi

KUANTAN: Polis merampas 28 komputer bernilai kira-kira RM84,000 dan menahan 11 lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan judi tidak berlesen dalam serbuan di dua premis di Jalan Air Putih, di sini malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata berpandukan maklumat awam, polis melancarkan Ops Dadu melibatkan 15 anggota yang melakukan serbuan serentak ke premis berkenaan bermula 10.30 malam.

"Hasil serbuan tersebut, seramai 11 lelaki sedang asyik bermain mesin judi di kedua-dua premis bersebelahan itu berjaya ditahan selain polis turut merampas 28 set komputer," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Beliau berkata kedua-dua premis tersebut pernah diserbu beberapa kali oleh polis, namun masih menjalankan aktiviti perjudian.

Katanya polis sedang mengesan pemilik premis tersebut untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(b) Enekmen Hiburan 1993 dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain