suria

Permohonan Najib Dan Rosmah Ketepi Sapina Anwar Didengar Isnin

KUALA LUMPUR: Permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengenepikan sapina yang mengarahkan mereka untuk hadir memberi keterangan dalam perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didengar pada Isnin depan.

Permohonan itu pada asalnya dijadualkan didengar pada Khamis, di hadapan Hakim Mahkmah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Bagaimanapun, peguam Datuk Ghazi Ishak yang mewakili Najib dan Rosmah selaku pemohon, memohon agar ia ditangguhkan ke tarikh lain atas alasan pihaknya baru sahaja menerima afidavit yang difailkan oleh Anwar yang dinamakan sebagai responden pertama dalam permohonan tersebut.

"Oleh itu, kami sangat berharap agar mahkamah dapat memberikan masa untuk kami mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam," katanya dan menambah mereka juga berkemungkinan akan memfailkan afidavit balasan selepas itu.

Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan itu setelah tiada bantahan dikemukakan oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar dan juga Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abidin yang mewakili pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden kedua.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, seorang lagi peguam yang mewakili Najb dan Rosmah, Datuk Salehuddin Saidin memberitahu, pihaknya hanya menerima salinan afidavit yang dimaterai pada pagi ini.

Usaha untuk mendapatkan sesalinan afidavit tersebut juga tidak berjaya dan difahamkan ia hanya akan diserahkan selepas mahkamah selesai mendengar permohonan tersebut.

Pada 21 September lalu, Najib dan Rosmah memfailkan permohonan untuk mengenepikan sapina tersebut menerusi peguam-peguam Ghazi, Salehhudin, Hisyam Teh Poh Teik dan M. Athimulan.

Pada 8 Ogos lalu, Anwar yang merupakanAhli Parlimen Permatang Pauh dibenarkan untuk menyoal Najib dan Rosmah dan pada 12 Ogos lalu, kedua-dua mereka telah hadir ke mahkamah tetapi enggan ditemubual berhubung kes liwat berkenaan.

Anwar, 64, sedang membela diri atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, yang didakwa dilakukan pada antara pukul 3.10 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di sebuah kondominium Desa Damansara, di sini.

Perbicaraan kes liwat tersebut akan bersambung pada 3 Oktober ini dan difahamkan antara saksi yang akan dipanggil ialah seorang pakar ortopedik, Dr Thomas Hoogland yang mempunyai sebuah klinik di Munich, Jerman.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain