suria

Pemuda MCA Minta Mansuhkan Seksyen 15 AUKU

KUALA LUMPUR: Pemuda MCA akan menggesa agar Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dimansuhkan pada Perhimpunan Agung tahunannya Sabtu ini, kata Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata pemansuhan Seksyen 15 AUKU itu adalah antara 10 resolusi yang akan dibentang pada perhimpunan agung tahunan ke-47 pergerakan itu yang akan diadakan di Dewan SGH di Sentul.

Seksyen 15 AUKU menghalang penuntut universiti di Malaysia terlibat dalam kegiatan politik.

"Kami akan minta sama ada Seksyen 15 AUKU dipinda atau dimansuhkan kerana kami percaya mahasiswa perlu diberi lebih banyak ruang untuk menyuarakan pandangan mereka. Terdapat persetujuan di kalangan Pemuda MCA untuk menyokong pemansuhan Sekyen 15 itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa pergerakan itu tidak meminta untuk pemansuhan sepenuhnya AUKU kerana mereka hanya mahu Seksyen 15 yang dipinda atau dimansuhkan.

"Kami merayu pihak berkuasa untuk melihat perkara ini memandangkan kita akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa akta lain tidak lama lagi. Lagipun kami hanya meminta Seksyen 15 dipinda atau dimansuh," katanya.

Mengenai kandungan lain dalam resolusi Pemuda MCA, Wee berkata ia termasuk pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Sept untuk memansuhkan beberapa undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Buang Negeri 1956 dan tiga proklamasi Darurat.

"Kami menyokong perubahan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu," katanya.

Selain itu, beliau berkata perhimpunan agung tahunan Pemuda MCA juga dijangka meluluskan resolusi meminta ketelusan dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mengenai urusan parti pula, Pemuda MCA dijangka meluluskan resolusi mengenai 1Malaysia seperti bagaimana ia perlu menggambarkan spirit 1Malaysia, serta resolusi lain termasuk gaji minimum, pekerja asing dan keperluan membendung masalah sosial.

Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA akan mengadakan mesyuarat pada 30 Sept bagi memuktamadkan perkara itu, katanya.

Sementara itu, Wanita MCA akan meminta lebih ramai calon wanita memandangkan keanggotaan wanita kini 45 peratus daripada jumlah keseluruhan satu juta anggota parti.

Setiausaha Agungnya Senator Chew Lee Giok berkata resolusi untuk lebih ramai calon wanita akan dibentang pada perhimpunan agung tahunan Wanita ke-36 di Wisma MCA di sini pada Sabtu.

"Kami tidak menyatakan secara khusus berapa ramai tapi apa yang kami mahu ialah mereka (kepimpinan parti) memberi kami lebih banyak peluang," katanya ketika dihubungi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain