suria

Laporan Siasatan Awal Letupan Di Empire Gallery Telah Siap

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah menyiapkan laporan awal berhubung letupan di pusat beli-belah Empire Gallery di Subang Jaya awal pagi Rabu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Chor Chee Heung.

Chor berkata laporan itu akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada Jumaat.

"Laporan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah siap. Ia akan dikeluarkan esok.

"Manakala aspek jenayah pula akan diuruskan oleh pihak polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Perbincangan Meja Bulat 'Cities and Climate Change' sempena Hari Habitat Sedunia 2011, di sini, Khamis.

Pusat beli-belah itu ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

Letupan kuat yang berlaku pada 3 pagi itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di salah sebuah premis di tingkat bawah kompleks berkenaan.

Chor juga mengarahkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat supaya mengkaji aspek keselamatan secara menyeluruh sebelum sesuatu bangunan itu diberikan Sijil Layak Menduduki (CF).

Terdahulu dalam ucapannya, Chor berkata Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia sedang menyediakan Garis Panduan Bandar Hijau untuk menggalakkan setiap bandar dirancang berkonsepkan bandar hijau.

Menurutnya garis panduan itu akan membantu kerajaan mencapai sasaran pengurangan intensiti karbon dan boleh diguna bagi menilai tahap karbon sesuatu bandar melalui Rangka Kerja dan Sistem Penilaian Bandar Raya Rendah Karbon.

Jelasnya ia juga penting memandangkan 65 peratus penduduk di negara ini kini tinggal di bandar dan di pinggir bandar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain