suria

Kumpulan Pertama Jemaah Haji Malaysia Tiba Di Madinah

MADINAH: Kumpulan pertama 450 jemaah haji Malaysia tiba di sini pagi Khamis untuk ibadah ziarah, sebelum dijadual berlepas beberapa hari kemudian ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah dan haji bagi musim haji 1432 Hijrah tahun ini.

Mereka tiba dengan penerbangan haji pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mendarat di lapangan terbang antarabangsa di sini pada pukul 5.45 pagi.

Selepas menyelesaikan urusan imigresen di lapangan terbang, jemaah dibawa ke tempat penginapan di Hotel Movenpick di sini dengan rata-rata kelihatan ceria dapat berada di tanah suci, walaupun jelas letih selepas melalui penerbangan selama kira-kira tujuh jam.

"Kali pertama saya datang ke sini pada tahun 1998 dengan Tabung Haji, urusan jemaah haji dikendalikan dengan baik, dan tahun ini saya lihat perkhidmatannya semakin mantap," kata Shaari Mahmus, seorang daripada jemaah yang ditemui di sini.

Shaari, 70, yang berasal dari Parit, Perak, berkata ini merupakan kali kedua beliau menunaikan haji di bawah pengurusan Tabung Haji, dan perubahan positif yang disaksikan hari ini kelihatan amat ketara.

Menurutnya pada pemerhatiannya sebaik tiba, lapangan terbang di Madinah kini bertambah luas dan selesa, urusan imigresen bertambah baik, dan kelancaran perjalanan yang dikendalikan Tabung Haji bertambah mantap.

Ketibaan jemaah di hotel penginapan mereka di sini dengan 10 bas disambut Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Datuk Prof Syed Omar Syed Al-Saggaf dan isteri, serta Timbalan Ketua Rombongan Haji Tengku Aziz Raja Abdullah, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Muhammad Khalid Abassi dan lain-lain petugas Tabung Haji.

Para jemaah kemudian dibawa ke dewan untuk jamuan ringan sebelum ke penginapan masing-masing untuk berehat.

Seorang lagi jemaah yang ditemui Sabariah Mohammad, 60, dari Keratong, Pahang, berkata beliau bersyukur kerana akhirnya dapat menunaikan ibadah haji selepas kira-kira 10 tahun menunggu.

Katanya beliau bersama suami mendapat peluang untuk menunaikan haji tahun lepas, namun hajat untuk ke tanah suci bersama suaminya tidak kesampaian apabila suaminya meninggal dunia pada Julai 2010, dan hari ini beliau tiba di sini untuk menunaikan haji dan umrah bersama anak sulungnya.

Anak lelakinya Rosli Ahmad, 43, dari Country Homes, Rawang, berkata beliau amat berterima kasih terhadap kerjasama dan layanan baik petugas Tabung Haji dalam membantu beliau dan ibunya menunaikan ibadah.

Beliau berkata perjalanannya lancar dan perkhidmatan yang diberikan oleh pasukan Tabung Haji juga amat memuaskan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain